Jumaat, 13 Mac 2009

Glory..Glory Man United

VIDIC mendepang tangan ketika meraikan jaringannya seawal minit keempat bersama Rio Ferdinand sambil diperhati Berbatov ketika menentang Inter Milan di Old Trafford, kelmarin.

'United menang kerana tuah'

Pemain mula mahu menunjuk-nunjuk aksi mereka: Fergie


MANCHESTER: Juara bertahan, Manchester United menundukkan Inter Milan 2-0 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pertamanya di peringkat Eropah sejak menjuarai gelaran itu musim lalu.

Selepas kebuntuan gol pada pertemuan pertama, Nemanja Vidic meletakkan United di depan sebelum Ronaldo menanduk masuk gol kedua, empat minit selepas waktu rehat.

Namun ia adalah malam yang mendebarkan buat United, dengan percubaan penyerang Inter, Zlatan Ibrahimovic dan Adriano terkena palang ketika pelawat gagal mengambil kesempatan daripada permainan hambar juara Inggeris itu.

“Selepas mendahului 2-0, pemain saya mula mahu menunjuk-nunjuk aksi mereka. Ia adalah permainan bola sepak yang cuai hingga membolehkan Inter menguasai permainan.

“Ia memang begitu mendebarkan dan malam yang panjang bagi kami,” kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.

Kekalahan Inter itu adalah yang kedua buat Jose Mourinho dalam 14 pertentangannya dengan Ferguson, yang termasuk ketika membimbing Chelsea dan FC Porto.

Tiada siapa boleh lupa bagaimana Mourinho berlari di tepi garisan di Old Trafford pada 2004 apabila pasukannya ketika itu, Porto menjaringkan gol pada lewat permainan utnuk menyingkirkan United daripada Liga Juara-Juara, keputusan yang membuka laluannya ke Chelsea di mana dia memenangi dua gelaran liga.

Namun, jelas dua gol menerusi tandukan, masing-masing pada awal setiap babak memusnahkan impiannya, sekali gus menyebabkan pasukannya kini hanya mampu menumpukan usaha untuk mempertahan gelaran juara Itali.

“Tiada siapa boleh mengatakan kami tidak membuat kajian, kami menonton 50 DVD mengenai kemampuan Vidic sewaktu sepakan sudut tetapi dia masih mampu menghasilkan gol,” kata pengurus warga Portugal itu.

Ditanya mengapa Zlatan Ibrahimovic, antara pemain Inter yang hebat dengan tandukannya, tidak diberikan tugas mengawal Vidic, Mourinho berkata:

“Dia mengawal Ronaldo, pastinya dia tidak mampu berada di dua tempat pada satu masa.”